if u like this blog.just click

Friday, January 28, 2011

khutbah : “ MENANTI DI ALAM KUBUR ”

 (28 JANUARI 2011 /23 SAFAR 1432H)

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Setiap yang bernyawa pasti akan mati, begitu jugalah dengan manusia tiada seorang pun boleh lari dari ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Apabila ajal seseorang itu telah sampai malaikat Izrail tetap akan mencabut nyawanya tidak kira di mana seseorang itu berada. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 8:

Maksudnya : " Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).  

Begitulah apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilik sama ada ahli keluarga,anak-anak,  saudara mara, pangkat,harta benda dan sebagainya. Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke kubur untuk dikebumikan. Pada saat itu, terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzakh sementara menunggu hari hisab dan pembalasan di akhirat.
Menurut kamus Lisanul Arab oleh Ibni Manzur, makna alam kubur ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pemisah antara dua alam sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.  Alam kubur  juga  merupakan tempat permulaan seorang manusia itu dihukum segala amalannya semasa hidup di dunia ini. firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 62:

Maksudnya : " Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar. Ketahuilah, bagi Allah jualah kuasa menetapkan hukum dan Dialah secepat-cepat Penghitung.

Ketika berada di alam kubur seseorang itu dapat menjangkakan sama ada dia akan mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak. Perkara ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras)."
Bagi orang yang beriman kehidupan mereka di alam kubur dipenuhi dengan segala macam kenikmatan kurniaan Allah SWT. Sebaliknya bagi orang yang syirik, kufur dan ingkar terhadap suruhan dan perintah Allah sudah pasti seksaan dan azab kubur diterima sebagai tanda hukuman yang akan diterima di hari akhirat. Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi berkata, “ setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita percayai dan yakini kewujudannya kerana ia dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Rasulullah SAW memerintahkan kita agar sentiasa memohon pelindungan daripada Allah SWT dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa seperti berikut:

Bermaksud: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”(Riwayat Muslim)

Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat sebagaimana Rasulullah SAW:

Bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Riwayat at-Tirmizi)

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah.

Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar, ramai umat manusia pada hari ini melupai tentang hakikat sebenar kehidupan dengan gagal mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Ramai daripada kita leka dengan kehidupan dunia. Jika ada di kalangan kita yang mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa tanpa merasa takut dan gentar akan kedasyatan azab alam kubur  ini. Mengapa ini berlaku, hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita keras dan gelap dari cahaya.
Ingatlah bahawa  jalan Allah SWT tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan dan kesucian hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan beku rawatilah ia dengan melaksanakan beberapa perkara seperti berikut: Pertama: Gunakanlah masa yang berkualiti ini dengan sentiasa membaca al-Quran dan berzikir.Kedua: Bersikap tawaduk dan sentiasa merendah diri di hadapan Allah SWT. Ketiga: Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama seseorang semakin takut dia kepada tuhan-Nya. Di samping itu juga elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa. Keempat: Mengingati mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan dunia dan tidak panjang angan-angan. Kelima: Menziarahi kubur. Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara sebelum ini maka inilah  cara yang paling berkesan dalam mengubati hati yang keras.  Rasulullah SAW bersabda:

Bermaksud: “Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian”  (Riwayat Muslim)

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita menghitung diri kita, bagaimana nasib kita di alam kubur nanti, adakah kita sebahagian dari umat yang akan dirahmati atau akan di azab oleh Allah SWT. Renungilah kehidupan kita selama ini, adakah kita sudah bersedia untuk meninggalkan alam dunia ini, bagaimana dengan amalan kita? adakah sudah mencukupi untuk bertemu dengan Alllah SWT di akhirat kelak. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai  muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, prasangka buruk serta bercakap bohong. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:

Maksudnya: " Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! . "

No comments:

Post a Comment

komen ea

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...