if u like this blog.just click

Friday, June 3, 2011

khutbah : ''SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG PEMACU INOVASI UMMAH''

(03 JUN 2011 / 01 REJAB 1432 H)



Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Sempena dengan hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong pada esok hari maka tajuk khutbah pada hari ini ialah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Pemacu Inovasi Ummah .


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Di negara kita mengikut Perlembagaan Persekutuan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong merupakan pemimpin tertinggi, sebagai ketua negara, Baginda juga sebagai ketua agama Islam. Dalam Islam kedudukan seseorang pemimpin itu terlalu mulia dan agong, mereka ini disyariatkan bagi mengantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan dunia umat Islam. Menurut al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah di antara tugas khalifah itu adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir hal ehwal dunia. Pemimpin juga boleh disebut sebagai ketua khalifah Allah untuk melaksanakan tugasan dan amanah di muka bumi ini. Antara amanah yang perlu dilaksanakan ialah menyebar dasar Islam dengan berlaku adil kepada sesama manusia iaitu tidak membenci, tidak berlaku zalim, tidak melakukan penindasan, penipuan dan tidak mengabaikan manusia tanpa memandangkan status seseorang. Usaha mewujudkan keadilan kepada manusia sejagat adalah sebahagian sifat ketakwaan. Firman Allah dalam surah Saad ayat 26:

Maksudnya: Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu.
Keadilan meliputi hubungan manusia dengan dirinya, hubungan manusia sesama manusia dan juga hubungan manusia dengan Allah SWT. Keadilan tidak hanya berkait tanggungjawab pemerintah dengan rakyat semata-mata tetapi juga antara rakyat terhadap pemerintah.Untuk itu sebagai umat Islam di negara ini kita merasa amat bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua negara. Yang Di Pertuan Agong, Sultan atau Raja juga sebagai ketua agama Islam adalah sesuatu yang amat istimewa di negara kita. Baginda bukan sekadar simbol kepada negara bangsanya, malah Baginda beperanan sebagai pemacu kepada pengukuhan warga bangsa.
 Pemerintahan Baginda membantu berlakunya proses pengembangan intelek dengan memacu pemikiran rakyat agar dapat hidup selari dan senafas dengan peredaran zaman serta dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam perkembangan dunia semasa. Kepimpinan Baginda bukan sahaja dapat disaksikan menerusi kemesraan bersama rakyat bahkan sentiasa mengambil berat nasib yang melanda serta sentiasa membina kemajuan dan pembaruan untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

 Berdasarkan bukti sejarah dan pemerhatian mimbar bahawa Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja memain peranan penting dalam menentukan pelaksanaan Islam dan pemacu inovasi ummah di negara ini . Inovasi Ummah secara ringkasnya merujuk kepada membina kekuatan pemikiran manusia agar ianya boleh menemukan dan menciptakan inovasi atau perkara-perkara baru bagi memperbaiki taraf hidupnya. Banyak ayat-ayat al-Quran memberi tumpuan utama kepada pembinaan akal manusia sebagai kunci kepada ilmu pengetahuan dan inovasi sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 190:

Maksudnya:Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal.
Umat Islam sebagai umat teras menuntut kebijaksanaan yang tinggi dalam menyusun kehidupan. Harus diingat bahawa dalam usaha membina kemajuan ianya memerlukan satu perubahan, tranformasi atau inovasi baru. Inovasi dalam kehidupan mestilah mampu membebaskan umat Islam dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Terdapat perkaitan yang kuat bahawa ummah yang berinovasi akan mendahului zaman dan maju ke depan meninggalkan ummah yang lain. Kita merasa bangga sekiranya umat Islam hari ini diiktiraf sebagai ummah yang inovatif, kreatif dan produktif dimana atas usaha ini setiap inci bumi dan manusia akan mendapat rahmat Allah SWT . Rasulullah bersabda dalam hadithnya:

Maksudnya: Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanafaat kepada orang lain.(Riwayat at-Tabarani)


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah mengubah pandangan kita tentang pola kehidupan dengan menunjuk jalur arah yang lebih fitrah dan terarah. Walaupun proses Islamisasi di negara kita mengambil bentuknya yang amat unik dengan berlatar belakang penduduk yang berbilang kaum dan agama. Namun atas kebijaksanaan pemerintah agama Islam dan kemajuan ummah dapat ditegak dan dilaksana dengan sebaiknya. Bagi mengekalkan keadaan ini marilah kita sebagai rakyat jelata bersatu padu mendokong dan menjunjung institusi Raja berpelembagaan. Elakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh mengugat atau mencemar institusi Raja- Raja serta mempertikai perkara-perkara yang telah termaktub di dalam perlembagaan yang telah dipersetujui bersama sejak kemerdekaan lagi termasuklah kesucian agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Umat Islam dan rakyat sekalian juga dituntut menjaga hak-hak pemerintah yang antaranya ialah dengan menjaga kesucian masjid-masjid dibawah kuasa Sultan atau Yang Di Pertuan Agong. Sebarang pencerobohan, penghinaan atau mewujudkan suasana kacau-bilau keatas hak-hak pemerintah sangat dilarang dalam Islam. Sebagai ketua agama sudah pasti Yang Dipertuan Agong, Sultan atau Raja mahu menjaga kesucian rumah Allah ini, menentukan pengimarahannya mampu membentuk kesejahteraan rakyat, hidup bersatu padu dan tidak berpecah belah. Seorang ulama Abu Abdullah menyatakan didalam kitabnya Tahzib al- Risalah bahawa: Teraturnya urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah. kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan manusia akan menjadi kacau-bilau dan mereka akan saling bunuh membunuh antara satu sama lain.


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian bahawa kedaulatan Islam dan kemajuan ummah bertunjang kepada kekuatan kepimpinan. Oleh itu, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong sebagai ketua negara samada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga negara dan kesucian agama Islam amatlah dikagumi oleh rakyat jelata. Rakyat menjunjung kasih dan merapak sembah atas keperihatinan Baginda dalam memertabatkan agama,memajukan negara dan menginovasikan pemikiran rakyat. Maka, menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelahbagi kepada Baginda sebagai pemerintah negara. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59:

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Akhir sekali, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru para jemaah dan rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah

 diteguh  keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan bagi mentadbir negara dan menjalankan tugas dengan sempurna. Kita doakan juga agar negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

1 comment:

  1. hide kan shoutbox, link ke sini, ada tutorial:

    http://www.cikbulat.com/2011/04/sorokkan-kotak-jerit-kau-orang-siapa.html

    ReplyDelete

komen ea

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...