if u like this blog.just click

Thursday, May 26, 2011

khutbah: ''Belia Pemangkin Transformasi Negara" (27 MEI 2011/23 JAMADIL AKHIR 1432 H)

Muslimin yang di Rahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, di samping kita mempertingkatkan usaha dalam mendidik anak-anak dan ahli keluarga agar menyempurnakan kewajipan masing-masing. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: BELIA PEMANGKIN TRANSFORMASI  NEGARA.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Islam adalah agama yang sangat memuliakan para pemuda dan belia. Al-Quran banyak menceritakan kisah perjuangan para Nabi dan Rasul AS yang kesemuanya adalah orang-orang terpilih daripada kalangan pemuda dan belia. Ibnu Abbas  RA pernah berkata: Tidak  ada seorang nabi pun yang diutus Allah, melainkan ia dipilih di kalangan pemuda sahaja (yakni 30-40 tahun). Begitu pula tidak ada seorang ‘Alim pun  yang diberi ilmu, melainkan ia (hanya) dari kalangan pemuda. Al-Quran telah merakamkan kisah Nabi Allah Ibrahim AS yang telah berdebat dengan kaumnya serta menentang peribadatan mereka yang salah ketika beliau diawal usia belia. Firman Allah SWT di dalam al-Anbiya’ ayat  51- 56;

Bermaksud: Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu hidayah kebenarannya, dan Kami adalah mengetahui akan hal keadaannya. Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya? Mereka menjawab: Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ia berkata: Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata. Mereka bertanya: Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar sebagai seorang Rasul, atau engkau dari orang yang bermain-main sahaja? Ia menjawab: bahkan Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dialah yang menciptakannya; dan aku adalah dari orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Junjungan kita Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul ketika Baginda berumur 40 tahun. Pengikut-pengikut Baginda yang membentuk generasi pertama Islam kebanyakkannya juga terdiri daripada kalangan pemuda, bahkan ada yang masih kecil. Yang paling muda ketika itu Ali bin Abi Thalib dan az-Zubair bin al-Awwam yang baru berusia 8 tahun, manakala yang termasuk dalam usia belia seperti Ja’far bin Abi Thalib yang berusia 18 tahun, Qudaamah bin Abi Mazh’un berusia 19 tahun, Said bin Zaid dan Shuhaib ar Rumi berusia dibawah 20 tahun, ‘Aamir bin Fahirah 23 tahun, Mush’ab bin ‘Umair dan al Miqdad bin al Aswad berusia 24 tahun, Abdullah bin al Jahsy 25 tahun, Umar bin al Khathab 26 tahun dan ramai lagi yang berusia di sekitar 30 tahun.
          Malah terdapat ratusan ribu lagi para pejuang Islam yang terdiri daripada golongan pemuda dan belia. Mereka memperjuangkan dakwah Islam dan menjadi pembawa panji-panji Islam di zaman Rasulullah SAW ataupun sesudah itu. Usamah bin Zaid ketika dilantik  oleh Nabi SAW sebagai Panglima untuk memimpin pasukan kaum muslimin memasuki wilayah Syam dalam usia 18 tahun. Padahal diantara anggota pasukannya terdapat orang yang lebih tua seperti Abu Bakar, Umar bin Khathab dan lain-lainnya.
Demikianlah gambaran sepintas lalu kehebatan generasi muda/belia Islam pada masa silam sehinggakan ada di antara kisah perjuangan mereka dirakamkan oleh Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran. Diantara ada sebahagiannya tergolong sebagai  Rasul dan Nabi dan ada yang tergolong dalam kategori orang biasa. Masing-masing telah menggalas tanggungjawab dengan penuh adil dan amanah.
Apa lagi yang diperlukan oleh golongan belia hari ini, apabila Allah SWT sendiri yang mempersaksikan betapa kemuliaan dan ketinggian sumbangan mereka kepada agama Allah merentas zaman dalam salasilah rantaian para nabi dan Rasul? Semoga generasi belia/muda hari ini dapat memanfaatkan masa muda yang dikurniakan Allah dengan meneladani jejak-jejak perjuangan generasi terdahulu sebagaimana yang disarankan di dalam sebuah hadith:

Bermaksud:Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa mudamu sebelum datangnya masa tuamu, masa sihatmu sebelum datangnya masa sakitmu, masa kayamu sebelum datangnya masa miskinmu, masa lapangmu sebelum datangnya masa sibukmu, dan masa hidupmu sebelum datangnya masa matimu. (Hadis riwayat al-Hakim dan Ibn Abi Syaibah)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Negara sangat mendambakan munculnya generasi belia yang memiliki kekuatan sama seperti yang pernah dilahirkan dalam sejarah ketamadunan umat pada masa silam. Generasi belia yang memiliki kekuatan semangat dan daya juang yang tinggi, luas penguasaan ilmu serta berkeupayaan untuk memimpin anggota masyarakat. Dengan memiliki eleman-eleman ini, mereka diharap dapat memainkan peranan sebagai pemangkin kepada agenda transformasi negara dan ummah.
Transformasi membawa maksud perubahan bentuk (sifat, rupa atau keadaan). Dalam erti kata yang lain, ia merupakan proses peralihan dari satu dimensi ke satu dimensi yang lain, daripada keadaan senario sedia ada yang sudah berlegar di ruang pemikiran ke satu ruang yang lain, lebih baik atau lebih sempurna. Dalam konteks negara kita, agenda transformasi yang merangkumi transformasi ekonomi, sosial, pendidikan, sektor awam serta lainnya telah dan sedang digerakkan bagi merealisasikan wawasan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 nanti.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mimbar ingin mengingatkan bahawa dengan membiarkan diri, negara dan ummah  berada dalam keadaan yang lemah, mundur dan dibelenggu dengan perkara yang negatif bukanlah pilihan yang baik bagi umat Islam. Menjadikan Malaysia sebuah negara maju bukan hanya cukup dengan bergantung kepada kekuatan ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata, malah yang lebih penting lagi adalah mempunyai warganegara yang hebat dan berkualiti dari segi pendidikan, keusahawanan, politik, persatuan dan sukan, di samping pegangan agama yang kukuh. Justeru itu, mimbar menyeru kepada umat Islam sekalian khususnya kepada golongan belia  agar perlu memberi tumpuan kepada bidang keilmuan dan pendidikan kerana ia adalah asas kekuatan untuk menjadikan mereka bijak pandai yang mencorakkan kejayaan rancangan berkenaan. Berdasarkan laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) menunjukkan 80 peratus tenaga kerja tempatan mempunyai taraf pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekaligus tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi sepertimana yang disasarkan.
Serentak dengan itu, perlu dipupuk kewujudan sebuah iklim intelektual yang kondusif dan tradisi keilmuan yang komprehensif, seimbang dan sepadu. Tradisi keilmuan ini perlu disepadukan dengan penerapan iman dan takwa. Hasil yang diharapkan adalah lahirnya generasi belia yang berilmu dan berakhlak mulia. Ingatlah bahawa generasi yang hanya memiliki ilmu yang tinggi tetapi perilakunya penuh dengan keburukan hanya membawa masalah kepada zaman. Akhirnya tidak ada beza antara mereka yang punya banyak ilmu tetapi terkutuk akhlaknya lantaran akal budinya tidak didasari fitrah keimanan.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Golongan belia kita juga harus mengambil peluang melalui pembabitan dalam kegiatan berpersatuan. Maklumat Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia sehingga April tahun 2010 menunjukkan ada 7,709 persatuan belia dengan lebih 1.9 juta ahli berdaftar. Malah kewujudan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 bertujuan memperkasakan semula pertubuhan belia supaya dapat menarik lebih ramai generasi muda bergiat aktif dalam pertubuhan itu.
Penglibatan golongan belia secara aktif dalam kegiatan berpersatuan sudah pasti akan dapat mempertingkatkan potensi diri mereka menerusi ilmu berpersatuan dan kepemimpinan, pendedahan, pengalaman, malah mampu membina jaringan komunikasi antara belia atau persatuan sehingga ke peringkat antarabangsa. Mereka belia perlu membina jaringan komunikasi supaya dapat membantu diri dalam urusan sosial, ekonomi atau perniagaan dengan pihak lain pada masa hadapan.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyeru para jamaah sekelian, khususnya golongan belia untuk menghayati beberapa perkara yang telah digariskan oleh Dr. ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan, dalam bukunya Daur al-Syabab fi Haml Risalah al-Islam (Peranan Pemuda Dalam Memikul Risalah Islam) sebagai bekalan dalam memikul tanggungjawab sebagai pemangkin agenda transformasi Negara dan ummah, antaranya; Pertama: Setiap belia Islam mestilah mengetahui matlamat dia diciptakan oleh Allah SWT. Kedua: Setiap belia Islam mestilah mempunyai gambaran dan maklumat tentang strategi musuh yang setiap detik berusaha menghancurkan Islam. Ketiga: Setiap belia Islam mestilah menaruh harapan untuk menempuh kejayaan dalam bidang dakwah dan menghindarkan perasaan pasif dan berputus asa. Keempat: Setiap belia Islam mestilah mengambil contoh teladan yang ditunjukkan oleh para Sahabat seperti tercatat dalam Sirah. Kelima: Setiap belia Islam mestilah mengetahui teknik dakwah yang bijak supaya dapat memberi kesan kepada orang lain dan keenam: Setiap belia Islam mestilah mengetahui dengan penuh keyakinan qadha’ dan qadar Allah SWT itu hanyalah disisi-Nya sahaja.

Sekian,wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

komen ea

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...