if u like this blog.just click

Thursday, March 3, 2011

khutbah:"AKAUTABILITI TERHADAP AMANAH"(4 MAC 2011 / 29 RABIULAWAL 1432 H)


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT  dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: AKAUNTABILITI TERHADAP AMANAH. ”
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Manusia adalah hamba Allah SWT yang diamanahkan menjadi khalifah di muka bumi ini. Tugas khalifah begitu amat luas yang meliputi segala aspek dalam menyempurnakan kehidupan umat manusia dan seluruh alam. Justeru kita diwajibkan bertanggungjawab terhadap amanah tersebut. Bagi membolehkan melaksanakan tugas yang begitu berat, maka Allah SWT memberi satu pedoman kepada kita dengan  menurunkan al-Quran dan Rasul- Nya agar dijadikan rujukan dan panduan untuk kita mentadbir alam ini. Justeru, maka kita sebagai khalifah diwajibkan mentaati segala peraturan dan panduan yang telah ditetapkan itu demi kesejahteraan semua manusia dan seluruh alam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 27:

Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Ketahuilah bahawa manusia yang benar-benar beramanah ialah Nabi Muhammad SAW yang telah menunaikan seluruh kewajipannya sebagai penegak agama, penyelamat  ummah, pembela dhuafa’,  pendidik masyarakat. Baginda juga sebagai ketua keluarga, sebagai ketua negara dan sebagai pemimpin seluruh alam. Selaras dengan itu, Rasulullah SAW memperingatkan kita agar memelihara dan bertanggunjawab ke atas setiap amanah yang di pikul setiap manusia sebagaimana sabdanya:

Maksudnya:Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Wanita pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu. ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Anugerah amanah ini bukan sekadar suatu penghormatan dan penghargaan ke atas kebijaksanaan dan kemampuan manusia berbanding dengan makhluk Allah yang lain, tetapi ia merupakan satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Justeru itu, demi memastikan amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik, kita haruslah bersikap jujur terhadap amanah ini dan melakukan dengan bersengguh-sungguh untuk tujuan mencapai kebenaran serta dengan dasar yang jelas dan benar.  
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan soal hak, amanah dan tanggungjawab. Penegasan tentang hak dan amanah ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW  dalam sebuah  hadithnya yang bermaksud:“Sesungguhnya darah-darahmu, harta-hartamu dan maruahmu adalah haram atasmu semua seperti kesucian harimu ini, di negerimu ini dan dalam bulanmu ini. Dan engkau semua akan menemui Tuhanmu lalu Dia akan menanyakan kepadamu semua perihal amalan-amalan kamu. Ingatlah!, maka janganlah kamu semua kembali menjadi orang-orang kafir selepasku, sebahagiannya menetak leher sebahagian yang lain (berbunuhan tanpa dasar kebenaran).(Muttafaqun ‘Alaih)
Mimbar ingin menegaskan bahawa persoalan hak dan amanah sebenarnya berkait dengan  hak-hak Allah SWT yang wajib ditunaikan, hak-hak manusia yang perlu dilaksanakan termasuklah kepada diri sendiri, anak-anak, keluarga, jiran-tetangga dan masyarakat keseluruhan. Ingatlah bahawa beriman kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya adalah suatu amanah, menyeru kepada kebaikan adalah amanah, mendidik anak-anak juga adalah amanah. Menunaikan solat, puasa, zakat dan sebagainya merupakan sebahagian dari amanah.dengan kata lain semua persoalan hidup ini adalah amanah.  Rasulullah SAW telah berpesan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Mu’az bin Jabal RA katanya: Saya mengekori Nabi SAW yang sedang menunggang seekor keldai. Tiba-tiba Baginda bertanya kepada saya:”Wahai Mu’az, adakah engkau tahu hak Allah ke atas hamba-Nya?”. Saya menjawab:”Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda bersabda:”Hak Allah ke atas hamba-Nya ialah mereka wajib mengabdikan diri mereka kepada-Nya dan tidak mensyirikan sesuatu apapun dengan-Nya. Ibnu Mas’ud pernah  berkata: Ingatlah bahawa solat itu adalah amanah, wuduk itu juga adalah amanah, mandi wajib adalah amanah, timbang menimbang adalah amanah dan yang paling berat sekali ialah wadi’ah iaitu barang simpanan orang yang dipercayakan kepadamu untuk menyimpannya.
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Mengikut pemerhatian mimbar bahawa tahap akuantibiliti terhadap pelaksanaan amanah di kalangan sesetenggah anggota masyarakat pada hari ini amat membimbangkan. Banyak tanggungjawab yang diabaikan samada berkaitan hubungan dengan  Allah SWT atau sesama manusia. Kita dapat melihat ramai di kalangan kita yang mengabaikan solat, memandang remeh kewajipan berzakat, kikir untuk mengeluarkan sedikit harta untuk bersedekah. Ramai juga dikalangan kita yang mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga, anak-anak diabaikan. Betapa banyak kes anak-anak yang lari dari rumah yang dilaporkan. Gejala sosial semakin menjadi, kecurian berlaku di mana saja sehingga ada di kalangan mereka yang sanggup mengambil harta benda dan tabung jemaah di masjid.
Mimbar juga dimaklumkan bahawa akauntabiliti pengurusan agensi kerajaan dalam sektor awam dan swasta pada masa ini juga pada tahap membimbangkan. Seringkali dilaporkan berlaku kejadian pecah amanah, penyelewengan kuasa, rasuah, membazir masa dan sebagainya yang merugikan negara. Satu lagi yang membimbangkan ialah tentang elemen keselamatan perlindungan rahsia negara. Ramai dikalangan penjawat awam pada hari ini mengabaikan dengan tidak mengambil berat tentang hal ini, sehingga berlaku kebocoran maklumat rahsia negara. Perlu difahami  rahsia negara merupakan sebahagian aset negara dan ianya mesti  dilindungi secara menyeluruh daripada pelbagai ancaman. Apa jua bentuk tindakan untuk membocorkan rahsia negara ianya merupakan jenayah yang akhirnya meruntuhkan dan menghancurkan negara. Justeru mimbar menyeru sebagai seorang Islam, marilah sama-sama kita menghayati prinsip integriti, akauntibiliti, sentiasa beramanah, jujur, telus dengan penuh rasa tanggungjawab di samping menyerlahkan sifat-sifat mahmudah yang lain seperti rajin, tekun, berdisplin dan mengutamakan kualiti dan kesempurnaan dalam setiap tugasan.
Mengakhiri khutbah, mimbar mengingatkan wahai umat Islam sekalian bahawa Allah SWT akan mengadili semua tugas yang diamanahkan walau sekecil manapun tugas tersebut. Ingatlah jika kita sekali mengkhainati amanah yang diberikan nescaya seribu kali kita sukar untuk mendapat kepercayaan orang lain. Jika sekiranya kita terlibat dalam penyelewengan dan penipuan, maka rezeki yang kita perolehi adalah haram, makanan dan minuman adalah haram, pakaian yang dipakai juga haram kerana datang dari sumber yang haram. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengamalkan sikap jujur dan bertanggunjawab serta ikhlas dalam melaksanakan segala amanah yang diberikan ini. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 58:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

2 comments:

  1. ngee~
    fes time bce khutbah yg ko posting. .
    overall faham je. .
    cume hadis muttafaqun alaih je cam blurr.. ^^

    ReplyDelete

komen ea

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...