if u like this blog.just click

Thursday, July 21, 2011

! Hati oh Hati ! (bahagian 3)


Assalamualaikum...
Hari ini ana ingin bicara tentang soal hati..
cewah,macam filem Soal Hati la pula..
Takda la,sebenarnya ana hendak sambung entri ! Hati oh Hati ! (bahagian 3)..

***

Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak.
Tapi..kenapa hati kita tak gembira?

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"

Apa masalah kita?

Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?

Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..

Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kit. Macam mana hati kita  nak tenang?

Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...

***
Jangan Biar Hati Di'pateri'
Siapa tidak mahu menjadi orang beriman? Malah dalam situasi mencari jodoh, kita telah pun mengakui apa sebenarnya kehendak hati seorang manusia. Lelaki yang bergaya 'stylo' tetap mahukan calon isteri yang solehah seperti Nur dalam cerita Nur Kasih. Wanita yang berlagak ala Lady Gaga masih dambakan calon suami seperti Asyraf dalam Program Realiti Imam Muda.
Itu membuktikan, masih ada secebis cinta kepada agama jauh di lubuk hati. Tetapi, mengapa kehendak itu tidak membuka pintu hati kita untuk berusaha mendapatkan hidayah dari Allah? Sedang kita tahu, fitrah hati kita ini menginginkan kesejukan pandangan dan rohani yang damai dengan salju keimanan!
"Belum terbuka hati aku untuk berubah. Agaknya hidayah Allah belum sampai." Sebelum kita ucap sebaris kata-kata itu, cuba ambil beberapa saat untuk bertanya kepada diri. "Apa yang sudah aku usahakan untuk mencari sinar petunjuk dari Allah?". Jika kita hanya membiarkan kaki terus berjalan di atas landasan yang dicipta oleh syaitan, tidak mungkin kita dipilih Allah untuk mendapat hidayah. Hayati firman Allah SWT,
"Katakanlah (Wahai Muhammad SAW), Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara (ikhwan) kamu, isteri-isteri (suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah SWT dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamanya maka tunggulah sehingga Allah SWT mendatangkan keputusanNya (azab siksaNya). Kerana Allah SWT tidak akan memberi hidayah kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (at-Taubah : 24)
Menurut Pensyarah di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam UiTM, Dr. Mohd Asmadi Yakob, antara punca-punca seseorang itu sukar mendapat hidayah adalah kerana mengikuti hawa nafsu dan syaitan. Manusia yang sentiasa menuruti kehendak nafsu dengan membelakangkan larangan dan suruhan Allah, hatinya sukar terbuka ke jalan kebaikan. Manakala, apabila dia menjadikan syaitan sebagai kawan, hatinya akan  terus terpesong. Ini dapat dikaitkan dengan realiti masyarakat Islam hari ini yang mengamalkan susuk, sihir dan pemujaan syaitan dalam kehidupan. Telah Allah sebut di dalam surah al-Haj ayat 4, "yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka."
Selain itu, manusia yang berlaku zalim juga sukar memperoleh hidayah. Ia terbahagi kepada dua iaitu berlaku zalim terhadap diri sendiri dan zalim terhadap manusia lain. Seorang lelaki yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dengan sengaja, Allah akan 'memateri' hatinya! Hati menjadi keras, maka bagaimana sinar keimanan akan menyerap ke sanubarinya? Itu contoh zalim kepada diri sendiri. Manakala zalim terhadap manusia lain adalah dengan menganiaya orang tersebut. Doa orang yang teraniaya itu sesungguhnya amatlah mudah dimakbulkan Allah. Ini jelas menunjukkan Allah terlalu murka pada kezaliman.
Untuk memastikan diri tidak sukar diberi hidayah, jangan pernah biarkan hati menjadi keras. Ini boleh terjadi jika kita berkawan dengan rakan-rakan yang menghanyutkan kita dari mengingati Allah. Manusia yang melakukan maksiat dan dosa tetapi tidak bertaubat juga akan terus-terusan berada dalam keadaan yang sesat. Tanda hati telah menjadi keras juga apabila seseorang itu tidak suka mendengar perkara-perkara baik, majlis ilmu dan nasihat tentang keagamaan. Akhir sekali, apabila kita berperilaku melampaui batas-batas agama dan selalu berkata dusta, jangan dinanti hidayah mengunjungi segumpal darah di dalam tubuh! Beringatlah, apabila terdetik walaupun sebesar zarah kesedaran di dalam hati, segeralah mendekati Allah, mudah-mudahan hati dilimpahi hidayah yang berkekalan.
***
Hati (heart) adalah satu organ yang ajaib. Ia berdegup 100,000 dan mengepam 100 gelen darah setiap jam. Bayangkan jika kita mengangkat air sebanyak itu dalam sejam.  Mengikut sebuah kajian, otak sentiasa menghantar mesej ke otak , tetapi hati kadang-kadang tidak patuh. Fikiran kita mengatakan "kena solat", tetapi hati (perasaan) kita  kata nak sambung tidur.
Hati yang Segar
Oleh itu, hati yang cerdik adalah hati orang mu'min yang merasai dekat dengan Allah, merasai Allah itu ada dihati kita. Butanya hati kerana jahil (tidak berilmu). Maka banyak manusia yang menjadi musuh kepada apa yang ia jahil lalu memusnahkan Islam dengan rasa cinta pada Islam.
Manusia akan menjadi luar biasa kerana hatinya akrab dengan Allah. Sebenarnya Allah tidak pernah meminggirkan kita, tidak menjauh dari kita, tetapi kita sendiri memilih untuk jauh dari Allah.
Hati yang dikuasai dengan kebaikan, akan melahirkan kebaikan yang banyak.
Begitu juga hati yang dikuasai dengan kejahatan, akan lahir kejahatan yang banyak.
Allah swt sangat melihat kepada hati.
Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 284)

 

1 comment:

  1. Assalamualaikum,
    Terima kasih kerana berkongsi these words. Sangat bermakna dan membuka mata juga jiwa. Semoga saudara dalam rahmat & lindungan Allah selalu. Doakan saya kuat dan semangat untuk berubah menjadi insan yang lebih bertaqwa. Terima kasih sangat-sangat.

    ReplyDelete

komen ea

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...