if u like this blog.just click

Showing posts with label .:kOLEksi kHUTbah:.. Show all posts
Showing posts with label .:kOLEksi kHUTbah:.. Show all posts

Thursday, July 11, 2013

Khutbah : ''Ramadhan yang Dinanti''

                  ( 26 SYAABAN 1434H / 5 JULAI 2013)



Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Kini kita berada di akhir bulan Syaaban. Beberapa hari lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan. Detikakhir Syaaban adalah proses pecutan terakhir menghadapi bulan Ramadhan.  Bulan yang mulia ini merupakan peluang kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan juga sebagai ruang yang besar untuk kita memohon maghfirah yang diluaskan oleh Allah SWT ketika Ramadhan. Rasulullah SAW telah mengajar umatnya untuk menantikan kehadiran bulan Ramadhan dan mengharapkan ketibaanya dengan penuh kegembiraan di samping itu Baginda berdoa. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, apabila tiba bulan Rejab Rasulullah SAW berdoa:


Maksudnya:“ ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan.” (Riwayat Ahmad dan Tabrani)



 Dan Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Apabila masuknya bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga, tertutuplah pintu-pintu neraka, dan dirantailah syaitan-syaitan.”(Riwayat al-Bukhari)
 


Begitu juga, Rasulullah SAW memberi galakkan kepada para sahabat untuk menanti dan mengharapkan kehadiran Ramadhan. Baginda menyebut-nyebutkan kelebihan bulan Ramadhan yang menimbulkan kerinduan para sahabat terhadap bulan yang mulia itu. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Di dalam syurga mempunyai sebuah pintu yang digelar ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat. Tidak akan masuk kedalamnya seorang pun melainkan mereka sahaja. Dipanggil: ‘Siapakah orang yang berpuasa?’ Lalu orang yang berpuasa pun bangun. Tidak ada yang memasuki syurga melaluinya selain dari mereka. Apabila mereka semua telah masuk, ia ditutup. Maka tidak ada lagi yang akan masuk melaluinya walaupun seorang.(Riwayat al-Bukhari)


Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadith Rasulullah SAW menunjukkan bahawa bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan bulan- bulan yang lain, antaranya  kerana difardhu padanya ibadah puasa. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.

 Persoalan besar timbul disini bagaimanakah caranya untuk kita menyambut kedatangan bulan yang mulia ini dan melakukan ibadah puasa?. Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa sebenarnya terlalu banyak persediaan yang patut kita lakukan menjelang Ramadhan. Antaranya ialah pertama: Memantapkan ilmu agama. Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada, dikhuatiri ibadah yang diharapkan mendapat pahala sebaliknya tidak diterima. Menjelang Ramadhan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Sama ada dengan cara membaca hadith-hadith yang menceritakan tentang kelebihan bulan Ramadhan dan menghadiri kuliah-kuliah agama. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.


Kedua: Menjaga dan memelihara kesihatan. Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan Ramadhanlah tubuh badan memerlukan tenaga bagi melaksanakan segala amalan seperti solat sunat tarawih, qiamullail, membaca al-Quran, iktikaf dan sebagainya. Ketiga: Kewangan yang cukup. Di antaranya ialah kita hendaklah banyak bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling suka bersedekah dan dermawan serta Baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas RA: “Rasulullah SAW ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau  bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Riwayat al-Bukhari)


Keempat: Senantiasa berdoa. Di kesempatan bulan Ramadhan kita dituntut memperbanyakkan berdoa. Para Salaf as-Soleh berdoa selama enam bulan sebelum ketibaan bulan Ramadhan mereka berdoa untuk menyatakan kerinduan mereka terhadap Ramadhan. Antara doa mereka adalah: Ya Allah, benarkanlah aku sampai ke bulan Ramadhan, dan benarkanlah kepadaku Ramadhan, dan benarkanlah ia bertemu denganku.”
Kelima: Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan. Kita juga dituntut memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Perkara ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita bagi membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu perkara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika senantiasa diwar-warkan. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut kemulian dan ganjarannya oleh media massa, media elektronik dan seluruh umat Islam.Muslimin Yang di Rahmati Allah,Percayalah bahawa kita adalah makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat  lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil. Sebagai makluk ciptaan-Nya, maka Allah SWT  Maha mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan iman dan akhlak manusia. Selari dengan kelemahan makhluk-Nya itu, maka Allah menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadhan dengan keampunan dan pahala yang berganda serta mengembalikan fitrah akhlak manusia. Rasulullah SAW bersabda:





Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”(Riwayat Bukhari) 

Oleh itu, menjelang Ramadhan ini, para jemaah dan umat Islam sekalian diseru memberi tumpuan kepada tawaran daripada Allah SWT, bukannya terpengaruh dengan promosi-promosi komersial yang mengaitkan dengan nama Ramadhan. 

Yakinlah, ibadah Puasa yang dilakukan dengan sempurna pasti mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa kita menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah SWT. Ingatlah ketika berpuasa kita bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum malahan mestilah memelihara mata daripada melihat perkara yang diharamkan, telinga daripada mendengar umpatan, lidah daripada menuturkan fitnah dan cacian, tangan daripada melakukan dosa dan permusuhan, kemaluan daripada melakukan kemaksiatan dan kaki daripada melangkah ke arah kejahatan dan kemungkaran.Cerminlah diri kita wahai jemaah sekalian, adakah selama ini anggota tubuh yang dimiliki kita gunakan untuk beribadah dan memberi manfaat kepada masyarakat, agama dan negara. Ataupun hanya kita gunakan untuk melakukan kerosakan, kehancuran dan memecahbelahkan ummah. Muhasabahlah, jika selama ini kita terlanjur perbuatan, kembalilah ke pangkal jalan. Selain itu, Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah dan bertaubat di atas dosa-dosa yang dilakukan  dengan mengisi ruang-ruang  yang ada bagi meningkatkan keimanan kepada Allah SWT didalam usaha mencari keredhaannya. Firman Allah SWT di dalam surah an-Nuur ayat 31:Maksudnya: 

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” 

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru, marilah kita sama-sama menyambut kehadiran Ramadhan kali ini dengan penuh ketakwaan dan membuat persiapan dengan sebaik mungkin. Ambillah kesempatan apa yang telah Allah SWT janjikan sepanjang bulan Ramadhan dengan menjana kekuatan jati diri kita untuk beribadat kepada-Nya. Bulan barakah ini merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali. Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan perkara-perkara kebaikan kerana mungkin bagi tahun yang mendatang kita tidak merasainya lagi. Mimbar juga mengambil kesempatan sempena dengan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke 55 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur yang bermula 29 Jun hingga 6 Julai 2013, menyeru para jemaah sekalian untuk sama-sama kita memenuhi dewan tersebut bagi memeriahkan majlis. Dan marilah sama-sama kita membudayakan al-Quran dalam kehidupan. Mengakhiri khutbah marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97:Maksudnya: 

“ Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan”. 


Sunday, August 12, 2012

khutbah : ''Gandakan Amalan Di Akhir Ramadhan''




(10 OGOS 2012 / 21 RAMADHAN 1433H)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: “GANDAKAN AMALAN DI AKHIR RAMADHAN”.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,       
Hari dan minggu berlalu begitu cepat, tanpa disedari kini kita sudah pun berada di sepuluh terakhir Ramadhan. Maka tempoh terakhir ini adalah masa bernilai dan berharga yang perlu direbut oleh kita semua bagi mereka yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Masa yang terakhir inilah yang akan menentukan samada puasa kita ini mendapat keberkatan dan menjadi penebus segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan selama ini. Inilah masanya yang Allah SWT janjikan kepada kita semua sekiranya kita benar-benar beriman kepada-Nya sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:


Maksudnya: “ Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya di penuhi rahmat, pertengahannya di penuhi dengan keampunan dan akhirnya di penuhi dengan pahala yang menjadi penebus api neraka”. (Riwayat Muslim)

 Allah SWT telah menganugerahkan kepada hamba-Nya di dalam bulan Ramadhan satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar. Pahala beribadat pada malam itu menyamai pahala seribu bulan. Malam itu juga malam yang paling istimewa dalam kehidupan manusia dan malam yang terbaik bagi umat Islam kerana diturunkan al-Quran al-Karim. Kelebihan malam tersebut telah dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Qadr ayat 1-5:


Maksudnya: “ Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya yang engkau dapat mengetahui, apa dia kebesaran malam lailatul Qadr itu? malam lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka. kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar ”.

Berdasarkan ayat ini, jelaslah bahawa Lailatul al-Qadar mempunyai kelebihan yang begitu besar, maka seharusnya kita berusaha dan tidak mensia-siakan peluang malam yang dijanjikan itu. Bagi orang yang beriman mereka berazam mencari peluang yang disediakan dengan berlumba-lumba untuk bangun di malam yang hening dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah SWT sepertimana sabda Rasulullah SAW :



Maksudnya: “ Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil pada sepuluh hari yang terakhir pada bulan Ramadhan.” (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW apabila berada pada 10 malam yang terakhir beliau menghidupkan malam-malam tersebut dengan melakukan ibadat sebagaimana yang diriwayatkan oleh  Saidatina Aisyah RA katanya: “ Sesungguhnya Nabi SAW. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah.”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Memasuki fasa ketiga bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, maka mimbar menyeru, marilah kita menggunakan peluang dan tawaran yang berharga ini bagi menambahkan bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang mempunyai banyak kelebihannya. Lailatul Qadar adalah malam yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku pada satu malam sahaja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa yang memperolehinya dan rugilah siapa yang melepaskannya.
           Di samping itu dalam fasa yang ketiga ini juga kita dituntut mempertingkatkan amal-amal soleh dan kebajikan seperti beriktikaf di masjid-masjid, bertadarus al-Quran, memperbanyakkan zikir-zikir, memperbanyakkan solat-solat sunat, menghadiri kuliah ataupun takzirah Ramadhan, namun perlu diingatkan bahawa takzirah Ramadhan yang dilaksanakan hendaklah bersesuaian dengan suasana jemaah. Satu lagi perkara kita dituntut melakukan sedekah samada kepada fakir miskin, anak yatim dan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW di sepanjang bulan yang mulia ini tangannya sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan kepada orang-orang yang memerlukan. Kita juga di tuntut memperbanyakkan berdoa terutama doa khusus untuk malam Lailatul Qadar. Iaitu sepertimana yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA:




Maksudnya: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW seandainya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang patut saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu oleh itu maafkanlah segala kesalahanku .” (Riwayat Abu Daud)

Mengambil peluang untuk mencari keredhaan dan keampunan Allah SWT adalah merupakan amalan mereka yang beriman dan bertakwa, mereka yang tidak jemu dan berputus asa melakukannya, kerana yakin bahawa Allah SWT akan menganugerahkan kepada mereka keredhaan dan keampunan di atas segala dosa-dosa yang telah dilakukan selagi mana mereka terus memohan kepada Allah SWT.
Namun, persoalannya pada hari ini apa yang diperhatikan oleh mimbar, kebanyakan dari kalangan kita bila berada dipenghujung Ramadhan, mereka sibuk dengan urusan lain seperti membuat persedian untuk menyambut hari raya. Kita melihat masjid-masjid menjadi lengang dan sepi, para jemaah solat terawih semakin berkurangan, pasaraya-pasaraya menjadi tempat tumpuan dan golongan suri rumah sibuk dengan persedian  untuk hari lebaran seperti mengemas rumah, membuat kuih muih sehinggakan ada di kalangan mereka tidak melakukan ibadat puasa kerana keletihan. Bahkan ada juga yang sanggup melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah SWT.

Mimbar ingin menyatakan bahawa suasana yang sebegini sebenarnya tidak sepatutnya dilakukan oleh kita kerana di fasa yang ketiga inilah kita mesti melipat-gandakan ibadat dengan tidak mensia-siakan peluang yang ada, kerana kita belum pasti lagi sama ada kita berpeluang atau tidak untuk terus bersama dengan Ramadhan pada tahun hadapan.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengambil kesempatan sempena dengan musim cuti perayaan yang bakal menjelang tiba, mimbar ingin untuk menasihatkan sidang jemaah dan umat Islam sekalian supaya berhati-hati dan bersabar semasa membawa kenderaan untuk pulang ke kampung halaman. Pastikan kenderaan di servis dan berada dalam keadaan baik dan sempurna. Dalam musim perayaan ini, ibu bapa dan kaum kerabat di kampung dan penumpang dalam kenderaan mengharapkan sampai dengan selamat dan bukannya berita buruk seperti kematian atau kecacatan sepanjang hayat.
Sebagai orang yang beriman dan bertakwa, sikap banyak bersabar, mematuhi peraturan jalanraya, menjaga keselamatan diri dan orang lain, mematuhi arahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ), Polis Diraja Malaysia serta agensi yang lain, akan menjadi pelengkap kepada nilai ketakwaan seseorang terhadap Allah SWT. Mudah-mudahan amalan bersabar di jalan raya dapat mengelakkan kecelakaan berlaku di saat kita ingin menyambut hari raya. Menurut sumber PDRM, punca utama kecelakaan di musim perayaan ialah kurangnya sifat sabar pemandu dan akibat kelalaian perbuatan manusia sendiri. Amalkanlah didikan Ramadhan untuk membentuk seorang insan yang bersabar di mana jua keadaannya.  
Mimbar juga berpesan semasa kita pulang cuti beraya pastikan keselamatan rumah dalam keadaan sempurna dengan pintu dikunci, bekalan elektrik dipadam, memaklumkan kepada jiran serta melaporkan kepada pihak keselamatan ataupun polis semasa ketiadaan kita di rumah.Mimbar juga ingin mengambil kesempatan sempena Sambutan Hari ASEAN yang ke 45 pada 8 Ogos tahun ini, menyeru jemaah dan umat Islam sekalian untuk bersama-sama bersatu hati dan berusaha ke arah mengekalkan keamanan dan kemakmuran di rantau ini khususnya di negara kita Malaysia. Walaupun kita berbeza dari segi persempadanan negara, agama, budaya, bahasa mahu pun paras rupa, namun kemajmukan masyarakat ini seharusnya di jadikan asas untuk kita saling kenal mengenali antara satu sama lain dan membangunkan kerjasama untuk kebaikan sejagat.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merebut peluang keemasan yang diberi oleh Allah SWT pada fasa yang terakhir ini. Janganlah kita lalai dengan kesibukan mengejar dunia hingga kita lupa mempersiapkan amalan soleh sebagai bekalan bertemu dengan Allah SWT. Mudah-mudahan Ramadhan yang kita tempuhi tahun ini akan menjadi titik perubahan dalam diri kita untuk menjadi insan yang bertakwa dan diredhai Allah SWT  di dunia dan di akhirat. Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 186:



Maksudnya: “Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul. ”


Thursday, July 14, 2011

khutbah : ''Keistimewaan Pembaca Al-Quran Di Sisi Allah SWT''

(15 JULAI 2011 / 13 SYAABAN 1432 H)
Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Al-Quran ialah Kitabullah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan merupakan senjata paling mujarab, ubat yang paling mustajab dalam menyelesaikan segala permasalahan kehidupan. Di dalamnya penuh dengan nur hidayah, rahmat dan zikir-zikir serta panduan. Sebagai kitab wahyu yang dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain maka bagi mengekalkannya dalam kehidupan kita, ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar RA pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan, Rasulullah SAW bersabda: Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik. Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, Tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat. Kita dapati para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Kaab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu  juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu maghrib secara beramai-ramai. Ini membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Banyak hadith-hadith yang menjelaskan keistimewaan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadith Qudsi di mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makluk-Nya. Dalam satu hadith lain yang bermaksud: Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala. Sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud:“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. ” (Riwayat Tirmizi)

Mereka juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT sebagaimana yang dikatakan oleh Amr bin Ash: Barangsiapa membaca al-Quran maka mereka akan di naikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka sahaja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti. Hadith Rasulullah SAW:
ِ
Maksudnya: “Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya”.(Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan para sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih darpada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin. Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama  dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa  untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran. Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan tanpa memahami erti dan pengajaran darinya. Lebih-lebih lagi amalan menggantung ayat al-Quran tertentu, kononnya sebagai pelaris perniagaan.
Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai gaya hidup.kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.
Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan secara berguru. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mimbar mengambil kesempatan sempena dengan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke53 yang akan diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur bermula dari 16hb hingga 23hb Julai 2011 bertemakan “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah”, menyeru para jemaah sekalian untuk sama-sama menghadiri majlis tersebut bagi mendengar dan menghayati kandungan dan pengajaran daripada ayat-ayat suci al-Quran yang akan diperdengarkan oleh para Qari dan Qariah dari seluruh dunia. Semuga dengan kehadiran kita ke majlis tersebut akan menyerikan lagi dan mendapat rahmat dari Allah SWT serta dapat meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 45:

Maksudnya: “ Dan apabila kamu membaca Al-Qur'an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.”

Thursday, June 23, 2011

khutbah ; ''Kebenaran Dalam Isra' Mikraj


(24 JUN 2011/22 REJAB 1432 H)
 ....السلام عليكم

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan tajuk khutbah mengenai “ Kebenaran dalam Isra’ Mikraj ” . 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita kini berada di bulan Rejab. Bulan yang telah berlaku suatu peristiwa penting iaitu Isra’ dan Mikraj pada tahun kesebelas selepas kenabian Rasulullah SAW. Peristiwa ini  merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT dalam menjalankan diri Rasulullah SAW dari Masjidil Haram Mekah ke Masjidil Aqsa  Baitul Maqdis di Palestin dan seterusnya Nabi SAW diangkat ke langit untuk bertemu dengan Allah SWT dan  menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.  Firman Allah SWT  dalam surah al-Israa’ ayat 1:

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah)  ke Masjid al-Aqsa (di Palastin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ”

Peristiwa ini menguji tentang keimanan dan keyakinan umat Islam terhadap kekuasaan Allah SWT serta bukti kebenaran kenabian Nabi Muhammad SAW, kerana bagi pandangan orang-orang yang tidak beriman atau tipis imannya mereka menyatakan bahawa peristiwa Isra’ dan Mikraj tidak mungkin akan berlaku dan tidak mempercayainya. Tetapi bagi orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka tetap percaya dengan penuh keimanan dan keyakinan serta memperakukan kebenaran peristiwa tersebut seperti yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq dalam mempercayai Allah dan Rasul-Nya sehingga beliau digelar “as-Siddiq” yang membawa maksud orang yang benar.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sepanjang perjalanan Isra’ dan Mikraj yang ditemani oleh Jibril, Baginda telah menyaksikan beberapa gambaran perilaku umat manusia sama ada yang telah berlaku dan yang akan berlaku. Ada gambaran yang mengembirakan dan ada yang menakutkan. Ini merupakan suatu mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Baginda. Antara gambaran perilaku tersebut ialah Rasulullah SAW diperlihat satu kaum lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada disisi mereka. Kata Jibril itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami. Persoalan besar timbul di sini siapakah sebenarnya golongan ini?. Mengikut pandangan ulama golongan ini ialah mereka yang tidak menjaga kemaluan dengan cara yang halal dan mereka ini tergolong dikalangan yang dicela serta tidak berjaya samada dalam kehidupan dan cita-citanya. Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 1-6:

Maksudnya:“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya,dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia .Mereka yang berusaha membersihkan hartanya dengan menunaikan zakat harta itu . Mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. ”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah
Budaya hidup berzina terus menjadi isu panas di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kes-kes pelacuran, pengguguran kandungan, pembuangan bayi, rasuah seks dan pembunuhan. Walaupun budaya keji  ini dibenci oleh semua agama tetapi hanya Islam sahaja yang mengenakan hukuman yang paling berat kepada penzina. Hukuman keras ini amat waras kerana perbuatan berzina adalah perbuatan yang menjatuhkan harga diri, maruah dan moral manusia serta melahirkan status nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.

 Rasulullah SAW berpesan bahawa antara tanda-tanda akhir zaman ialah ramai orang yang jahil terhadap agama serta arak dan zina bermaharajalela. Mereka tahu tentang hukum haramnya namun masih tetap melakukan, kes-kes zina pada asalnya dilakukan secara tersembunyi, namun di akhir zaman nanti perzinaan dilakukan secara terang-terangan. Sabda Rasulullah SAW yang di riwayatkan oleh al-Tabarani yang bermaksud: Tidak akan berlaku kiamat itu sehingga orang berzina di jalanan sebagaimana keldai, Aku bertanya, Sesungguhnya itu akan terjadi? Jawab Baginda: Ya, nescaya akan terjadi. Di Padang Mashyar nanti golongan ini akan berjalan dengan kepala di bawah dan kaki ke atas langgit, mereka terasing daripada manusia, badannya sangat busuk serta darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluannya kerana semasa hidup di dunia mereka ini berbuat zina, suka menyembunyikan maksiat kerana takutkan manusia bukannya takut kepada Allah SWT. Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina akan menerima azab siksa yang sangat pedih di neraka Jahanam. Kepanasan api neraka adalah 70 kali ganda kepanasan api yang ada di atas dunia ini.
          Dalam satu hadith disebutkan di akhirat kelak, Allah SWT tidak menegur orang yang berzina, tidak menyapanya dan tidak memandangnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ada tujuh golongan manusia yang Allah tidak akan melihat mereka pada hari kiamat dan tidak membersihkan mereka dari dosa bahkan Allah berfirman kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam neraka bersama orang-orang yang dimasukkan ke dalamnya. Tujuh golongan tersebut ialah: mereka yang melakukan homoseks, mereka yang melakukan kahwin tangan (onani), mereka yang melakukan hubungan seks dengan binatang, mereka yang melakukan hubungan seks melalui dubur (liwat). mereka yang berkahwin antara ibu dan anak. mereka yang berzina dengan isteri jirannya dan mereka yang mengganggu jirannya.”(Riwayat al-Tabrani).
Ketika perbuatan berzina berleluasa dan pintu-pintu menuju perzinaan juga terbuka luas yang kelihatan sukar disekat, maka ketahuilah bahawa musibah bersiap sedia datang menerpa kita. Seberapa dekat kita dengan pintu-pintu menuju perzinaan, sedekat itu pulalah musibah yang akan diturunkan oleh Allah SWT. Musibah mungkin tidak menimpa diri kita tetapi akan menimpa anak cucu kita misalnya turut terjebak dengan amalan perzinaan.

Mimbar ingin mengingatkan bahawa nafsu seks adalah fitrah anugerah Allah SWT kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan. Bagaimana pun perlepasan dan pembebasan hawa nafsu hendaklah dilakukan secara halal iaitu melalui pasangan yang sah yang diikat dengan perkahwinan. Ketahuilah bahawa seorang lelaki yang mendekati wanita yang tidak sah pada dasarnya ia telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti ia telah mendekati perzinaan. Begitu pula dengan mereka yang senang melayari gambar-gambar porno di internet, menonton video lucah adalah mendorong kepada perzinaan. Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 32:

Bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.”

 Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,

 Serangan gejala sosial dan keruntuhan moral dalam pelbagai bentuk di negara ini   menyebabkan kita kadang-kala hilang pedoman untuk mengatasinya. Mimbar amat yakin sebagai umat Islam sekiranya peristiwa dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj ini ditauladani dan dipelajari serta dihayati sebaik mungkin, insyaallah kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan dan kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa ini bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan satu ujian dalam proses pemisahan antara orang yang benar-benar beriman atau mereka yang tipis imannya dan yang kufur ingkar terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya.
Bersempena memperingati peristiwa Isra’ Mikraj sebagai mukjizat yang besar ini, maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Bagi mereka yang terjebak dengan lembah kemaksiatan, sedar dan insaflah serta kembalilah ke jalan yang benar. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat, mudah-mudahan dengan cara ini kehidupan kita yang mendatang akan diberkati oleh Allah SWT. Mimbar juga menyeru marilah sama-sama kita mendidik dan membangunkan anak-anak serta keluarga kita menjadi insan yang soleh selari dengan kebenaran Isra’ dan Mikraj. Mimbar mengambil kesempatan pada khutbah minggu ini untuk menyeru seluruh umat Islam sekalian agar bersama-sama menjaga keamanan dan ketenteraman yang kita nikmati pada masa ini. Mimbar juga mengajak umat Islam sekalian agar mengelak diri dari terlibat dengan perkara yang boleh mencetuskan huru-hara seperti perhimpunan haram dan sebagainya. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 60:

Maksudnya: “Dan tiadalah kami menjadikan ( pada malam Mikraj ) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai suatu ujian bagi manusia ; dan (demikian juga kami jadikan) pokok yang dilaknat didalam al-Quran; dan kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semua itu tidak manambahkan keimanan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau. ”

Sekian,wallahu'lam...

Thursday, June 9, 2011

khutbah : ''MENJANA KEKUATAN EKONOMI ISLAM''

(10 JUN 2011 / 8 REJAB 1432 H)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan tajuk khutbah mengenai “ Menjana Kekuatan Ekonomi Islam ” .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dalam al-Quran dinyatakan bahawa Nabi Muhamad SAW diutuskan sebagai rahmat bagi semesta alam sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 107. Bagaimanapun salah satu penyakit umat Islam yang menghalang bagi mencapai rahmat itu ialah kemiskinan dan kebodohan. Di negara kita umat Islam mewakili 60% daripada penduduk tetapi mereka hanya menguasai 20% sahaja daripada kekayaan negara. Majoriti umat Islam pada hari ini hanya sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Persoalan besar timbul ialah bagaimana umat Islam terkebelakang dalam pencapaian ekonomi sehingga kemiskinan itu serasi dalam kehidupan umat Islam?.  
Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) unjuran kadar inflasi negara kita akan meningkat kepada paras 3.25 peratus pada tahun ini berbanding 2.9 peratus pada tahun 2010. Ini adalah disebabkan oleh peningkatan harga keperluan asas iaitu harga makanan, kos pengangkutan serta kos pinjaman.
Mimbar ingin menegaskan bahawa pembangunan ekonomi adalah asas utama kepada keutuhan sesebuah negara. Oleh yang demikian, Islam juga sangat menganjurkan umatnya supaya membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan ke arah yang lebih maju dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan pembangunan dari aspek keperibadian dan akhlak. Mimbar percaya kesan daripada rezeki yang diusahakan mengikut acuan syariah dan tadbir urus berdasarkan perundangan Allah SWT akan mendapat keberkatan dan limpahan rezeki dan kurnian dari Allah SWT sepertimana firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 30:

Bermaksud: “ Sesungguhnya Tuhanmulah Yang meluaskan rezeki bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan ia juga Yang menyempitkannya (menurut Yang demikian). Sesungguhnya ia Maha mendalam pengetahuannya, lagi Maha melihat akan hamba-hambanya”.

Kegiatan ekonomi adalah merupakan suatu fardhu kifayah ke atas setiap muslim sepertimana sabda Rasulullah SAW daripada Zubair bin al-Awwam RA yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang daripada kamu membawa seutas talinya dan pergi ke bukit lalu pulang dengan membawa seberkas kayu di atas bahunya. Kemudian ia menjualkannya, maka Allah akan memelihara kehormatannya, dan itu lebih baik baginya daripada ia meminta-minta manusia yang kadang-kadang diberi atau ditolak ”. Dalam usaha untuk melonjakkan imej umat Islam maka dituntut umatnya berkerja bersungguh-sungguh untuk meningkatkan ekonomi dan kekayaan negara sejajar dengan tuntutan  meningkatkan kualiti  dan kesejahteraan hidup. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun(memperbaiki dan mempertingkatkannya).” (Riwayat: al-Baihaqi)


Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Agama Islam amat menganjurkan umatnya supaya berusaha dalam mencapai kebahagian kehidupan dengan cara yang selari menurut syariah dan meninggalkan segala yang bertentangan dengan ajarannya. Maka hasilnya, kita dapati pada akhir-akhir ini, sistem kewangan dan pengeluaran produk halal (Halalan Thoiyiban)
contoh : produk HPA

 yang berlandaskan Islam telah mendapat perhatian dan pilihan masyarakat. Sistem dan produk Islam seperti pajak gadai Ar-Rahnu, akaun simpanan, pelaburan, pembiayaan, pensijilan produk halal dan lain-lain lagi. Bahkan bank-bank tempatan di seluruh Malaysia juga telah menjadikan sistem kewangan Islam sebagai salah satu produk mereka.
Tranformasi yang berlaku ini, menunjukkan kepada kita bahawa acuan dan sistem ekonomi dan kewangan Islam telah menghasilkan impak yang besar demi memartabatkan ajaran agama Islam ke seluruh alam. Pada tahun 2010 sahaja, menurut Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menyenaraikan sebanyak 846 sekuriti yang patuh Syariah tersenarai di Bursa Malaysia. Justeru, mimbar menyeru kepada semua umat Islam agar tidak memandang ringan dengan urusan dan sistem muamalah yang terdapat di negara kita kerana ia merupakan suatu kewajipan yang mesti kita patuhi dan laksanakan bagi meningkatkan ekonomi umat Islam dalam kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah  al-An’am ayat 152:

Bermaksud: “Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik, sehingga ia baligh; dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata maka hendaklah kamu berlaku adil, sekali pun orang itu ada hubungan kerabat; dan janji Allah hendaklah kamu sempurnakan. Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat.”


Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Umat Islam perlu sedar bahawa untuk memantapkan dan mengukuhkan ekonomi umat Islam adalah tidak  mudah. Walaupun kebanyakkan negara-negara Islam kaya dengan sumber galian dan khazanah alam yang dianugerahkan oleh Allah SWT, kita lemah dalam memanafaatkan anugerah Allah SWT tersebut. Justeru umat Islam perlu mengambil kesempatan ini dengan tidak lagi bergantung kepada  sistem kapitalis dan sosialis yang bersifat tidak seimbang. Sistem ekonomi kapitalis menyebabkan kekayaan dikendalikan atau dikuasai hanya oleh segelintir pihak sahaja atau dapat dikatakan yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana dan terus berada dalam kepompong kemiskinan. Dalam konflik yang sedemikian rupa, pastinya menjadikan implikasi negatif kerana menimbulkan banyak permasalahan yang rumit bagi masyarakat yang berada dalam penindasan dan kezaliman dimana mereka yang miskin akan terus dikalahkan oleh kelompok kaya yang menguasai sumber daya ekonomi lebih banyak.
Sheikh al-Imam Dr. Yusof Al-Qardawi pernah berkata bahawa  : Kekuatan ekonomi Islam kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan paling subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita menyalahgunakan kekayaan, tidak berani berusaha di bumi sendiri dalam menghasilkan keluaran dari galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita. Maka jadilah kita dalam banyak keadaan adalah sebagai pengguna bukannya pengeluar, pengimport bukan pengilang atau pengeksport. Kadangkala kita menghasilkan produk yang tidak diperlukan dan tidak dapat dipasarkan. Dalam masa yang sama kita mengabaikan dalam menghasilkan barang atau produk yang sangat kita perlukan dan mempunyai permintaan yang tinggi. Kita sangat berbangga memiliki kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu pun untuk mengeluarkan basikal sebagai produk buatan sendiri.


Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru kepada umat Islam sekalian dan kepada semua lapisan masyarakat serta pihak-pihak berwajib, marilah sama-sama kita melaksanakan dan memastikan sistem dan pendekatan berlandaskan konsep syariah terus dipertingkatkan dan dimajukan. 

Dengan cara ini insyaallah ekonomi umat Islam dapat dipertingkatkan dan dapat melonjakkan imej umat Islam di mata dunia. Percayalah bahawa sekiranya kita umat Islam ingin dilihat sebagai umat yang maju dan dihormati, maka kita harus bangkit dan berusaha untuk meningkatkan tahap ekonomi masing-masing. Ini merupakan konsep “ jihad ” yang mesti dipegang oleh umat Islam. Kita juga perlu melihat kesan ekonomi individu Islam ke atas ekonomi umat Islam keseluruhannya. Sikap mengabaikan keperluan pengukuhan ekonomi akan melemahkan kedudukan ekonomi serta martabat umat Islam dan akibatnya memudahkan kita dieksploitasi dan dijajah oleh orang lain. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Najm ayat 39-41:

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada bagi seseorang melainkan apa yang diusahakannya.Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan kepada-Nya pada hari kiamat kelak. Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna”.

Sekian,wallahu'alam....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...